Daun bidara – Selalu disebut-sebut khususnya oleh penggemar bahan-bahan semula jadi. Mungkin tidak begitu banyak kajian mengenai daun bidara, namun sudah ramai yang mulai sedar dan merasai sendiri manfaatnya. Pohon bidara juga mempunyai buah, namun daunnya lebih kerap digunakan kerana dianggap paling berkhasiat.

daun bidara, sidr leaves, sidr

            Dalam aspek islamik, Sidr leaves atau nama latinnya, Ziziphus Mauritiana ini sering digunakan untuk menghilangkan bau dan antara alternatif untuk menghindarkan diri daripada gangguan makhluk halus. Walaupun bukan sesuatu yang baru, daun bidara kini semakin mendapat perhatian kerana kelebihannya dalam aspek kecantikan dan kesihatan.

Khasiat Daun Bidara

Kecantikan

            Antara kelebihan penggunaannya ini adalah dapat mencantikkan kulit. Jika dipakaikan pada wajah, ia dapat membantu dalam melembutkan kulit, merawat dan mengurangkan jerawat, membantu menghilangkan parut-parut jerawat,  dan memulihkan iritasi atau keradangan.

            Tahukah anda daun ini juga turut dijadikan kosmetik? Tidak kisahlah hanya extract, atau 100% daun bidara, kini khasiatnya boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti dalam bentuk serbuk, gel atau sabun. Saya juga pernah menggunakan sabun berasaskan daun ini yang dibuat sendiri oleh orang tempatan.

Kesihatan Tubuh Badan

            Apa lagi yang elok tentang daun bidara? Kalau ada pohonnya atau mudah mendapatkan daunnya, jadikan minuman seharian. Oleh kerana mempunyai kelebihan antibakterial yang aktif, ada juga yang mengeringkan daunnya dan dibancuh dalam minuman untuk mengubat demam atau flu. Selain daripada itu, daunnya juga dipercayai dapat dijadikan alternatif dalam menyihatkan gigi dan tulang, membersihkan usus, mengawal diabetes dan tekanan darah tinggi. Tidak pasti rasa bancuhan daun ini sedap atau tidak, tidak mengapa. Boleh sahaja dicampurkan sedikit dalam bancuhan air anda seperti air minuman teh, sirap atau buah-buahan.

Haruman Terapi

            Sudah saya sebutkan tadi, antara kelebihannya yang lain adalah menghilangkan bau. Sebab itu, daun bidara turut digunakan untuk memandikan jenazah. Tahukah anda masih ada yang menggunakan daun bidara dalam air mandian? Khususnya bagi wanita yang mengalami haid, air mandian bercampur daun bidara boleh menghilangkan bau yang kurang menyenangkan. Tambahan lagi, jika anda mempunyai masalah insomnia, daun bidara dapat membantu. Seperti minyak terapi di luar sana, haruman daun bidara dapat menenangkan anda. Ambillah masa untuk menikmati harumannya tidak kiralah dengan membuat bancuhan air, air rendaman atau air mandian.

Tips Penggunaan

            Anda ada daun bidara, tapi bagaimana nak gunakannya? Jangan risau, ada banyak caranya!

  1. Jika anda mengalami luka, atau iritasi kulit, cucikan beberapa helai daun bidara, dan tempelkan sahaja pada bahagian tubuh yang luka atau iritasi tadi.
  2. Daun ini juga boleh ditumbuk atau dihancurkan untuk dijadikan sebagai mask dan scrub untuk wajah dan tubuh badan.
  3. Hancur atau koyakkan daun untuk dicampurkan dalam air mandian atau air rendaman.
  4. Keringkan daun seperti daun teh dan bancuhkan dalam air. Jika tidak mahu membuatnya sendiri, dapatkan sahaja teh daun bidara yang kini ada dipasaran.

Begitulah antara cadangan dalam memanfaatkan daunnya dalam kehidupan seharian anda. Saya juga baru sahaja mengamalkan penggunaan daun ini. Dengan adanya serbuk yang dijual di pasaran, amat mudah untuk dijadikan scrub, mask dan air rendaman. Namun, saya lebih gemar membuat bancuhan dengan air suam. Penggunaan air suam dapat membantu membuka pori dan mungkin dapat memudahkan penyerapan khasiatnya ke dalam kulit.

Mungkin banyak lagi kelebihannya yang tidak saya selitkan di sini. Jangan lepaskan peluang untuk menggunakan daun bidara sekiranya ada di depan mata. Yang asli selalunya lebih baik untuk digunakan.

Adakah anda juga pengguna daun bidara? Kongsikan pengalaman anda bersama pembaca kami.

 

Daun Bidara | Manfaat Penggunaan Daun Bidara was last modified: May 25th, 2017 by Zura