Tentang Pengasas Sugarscarf

Bukan mudah untuk mencipta kejayaan dan mempunyai empayar perniagaan yang berjaya. Pengarah pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman berjaya dalam membina perniagaannya tanpa memohon sebarang pinjaman wang. Beliau berasal dari keluarga yang susah dan itu mendorongnya untuk berdikari dengan menjalankan perniagaan sambilan ketika belajar di Universiti Multimedia pada tahun 2006. Perniagaan yang dimulakan secara suka-suka mula berjaya dan beliau meluaskan perniagaan secara online.


Untuk memulakan perniagaannya, beliau bermodalkan Rm800 untuk membuka butik secara online dan akhirnya menjadi satu jenama yang dikenali ramai. Tambahan pula, beliau bertekad untuk mengusahakan perniagaan secara online dengan lebih fokus. Sejak dari itu, beliau lebih mesra dengan panggilan Eyqa, berjaya menubuhkan butik online iaitu Sugarscarf.


Di samping itu, beliau menambah bahawa dalam industri fesyen terdapat banyak pelbagai cabaran, lagi-lagi fesyen dan gaya masa kini kerap berubah. Oleh itu, beliau percaya untuk maju dalam perniagaan fesyen, seseorang itu jangan terlalu bergantung pada trend sebaliknya, cipta trend terbaru yang boleh menjadi ikut-ikutan.

Tentang Sugarscarf

Pada tahun 2012, Sugarscarf mula mendapat menarik perhatian dan peminat fesyen muslimah apabila signatur jenama beliau, Madison, menjadi satu fenomena. Fesyen tudung tersebut yang mempunyai gabungan tudung dalam (inner) dan selendang menjadi pilihan. Ia bukan sahaja memudahkan muslimah tetapi memperindahkan gaya berhijab pada masa yang sama. Beliau juga berpegang konsep hijab yang mencipta identiti sendiri untuk tampil unik dengan koleksi yang terbaru.


Berkat usahanya yang tidak mengenal erti putus asa, kini Eyqa berjaya meluaskan empayar perniagaannya apabila membuka empat butik Sugarscarf yang menjadi permintaan ramai pelanggan termasuk mereka yang mahu mencari barangan yang dijual secara online. Tambahan pula, tudung yang dijual oleh Sugarscarf juga menjadi pilihan untuk penggemar hijab di luar negara. Pada bulan Oktober lepas, Sugarscarf mengadakan fashion show untuk memperagakan koleksi tudung di United Kingdom khas untuk pelanggannya.


Harapan beliau untuk jenama ini adalah beliau berharap rekaan beliau membuka mata orang di sana dan busana muslimah sendiri boleh berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. Syarikatnya juga ingin mencari rakan strategik untuk francais Sugarscarf di seluruh Malaysia pada tahun 2016.

Sugarscarf was last modified: June 6th, 2017 by its.annekyn